Sunday, June 29, 2008

Sofieya tersingkir Akademi Nasyid

BERAKHIR: Kumpulan Sofieya tersingkir daripada Akademi Nasyid.

SHAH ALAM: Kumpulan Sofieya menjadi peserta pertama tersingkir daripada program realiti terbitan TV9, Akademi Nasyid, yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam tadi.

Kumpulan yang dianggotai Nurul Izzah Radzi, Nurul Ain Jeffrie, Yyanty Nur Ain Jeni dan Norul Huda Arsah itu gagal menarik perhatian juri dan penonton dengan lagu Senyum yang dipopularkan Raihan, seterusnya meletakkan mereka kedudukan paling bawah.

Dengan terkeluarnya kumpulan dari Kuala Lumpur itu, program yang menawarkan hadiah utama bernilai RM100,000 itu kini menjadi rebutan lima kumpulan dan enam peserta solo.

Kumpulan terbabit ialah D'Vision, In-Heart, Voice of Men, Muslim Voices, Farhan manakala peserta solo, Zuriana Ishak, Mohd Shahridzal Lokma, Mohamad Aiman Mohd Sidek, Eda Fazilah Ismail, Mohd Shukri Nasrun dan Azhan Atan.

Sebanyak 50 peratus markah peserta Akademi Nasyid diberikan tiga juri undangan iaitu komposer Azmee Manap, Farihin Abdul Fatah dan Amran Omar, manakala 50 peratus lagi undian penonton.

Program realiti nasyid pertama di negara ini, diacarakan penyanyi Hafiz Hamidun dan disiarkan secara langsung setiap Sabtu mulai 21 Jun lalu, dari jam 8.30 malam hingga 10 malam di TV9.



No comments: