Wednesday, July 9, 2008

Laluan sukar peserta wanita


Giliran Zuriana Ishak tersingkir daripada Akademi Nasyid

JIKA namanya program realiti, fenomena yang dihadapi peserta rata-rata sama termasuklah program Akademi Nasyid yang mula diperkenalkan sejak tiga minggu lalu menerusi saluran TV9.

Dalam mana-mana program realiti, peserta wanita sering kali menjadi mangsa khidmat pesanan ringkas (SMS) sekalipun terbukti mereka berbakat. Minggu lalu, satu-satunya kumpulan wanita Sofieya menjadi kumpulan pertama yang disingkirkan.

Nasib malang terus menimpa peserta wanita apabila peserta solo dari Pulau Pinang, Zuriana Ishak pula mengikut jejak langkah Sofieya.

Peserta berusia 32 tahun itu mendendangkan lagu milik penyanyi Indonesia, Krisdayanti, Doaku Harapanku. Mungkinkah minggu depan giliran satu-satunya peserta wanita yang masih bertahan Eda Fazilah Ismail pula, memandangkan undian SMS yang ditunjukkan di awal program Sabtu lalu Eda hanya mampu mengutip satu peratus undian?

Zuriana yang ditemui sejurus selesai konsert tidak kecewa dengan penyingkirannya. Bagaimanapun mengakui harapannya besar untuk melangkah jauh dalam Akademi Nasyid memandangkan hanya dia dan Eda Fazilah saja peserta wanita yang masih bertahan. Nampaknya, hasrat Zuriana terkubur pada minggu ketiga.



BAWA KELAINAN: Imej In Heart tidak seperti kumpulan nasyid tipikal.

"Saya menyedari persembahan minggu ini ada sedikit kurang. Malah tidak saya nafikan ada peserta lain yang berbakat, tetapi saya perlu akur ini adalah adat pertandingan," kata Zuriana yang sebelum ini pernah juga mencuba nasib di dalam Akademi Fantasia.

Sementara itu, juri mingguan Farihin Abdul Fatah yang menilai perkembangan peserta setiap minggu berkata, secara keseluruhan dia melihat prestasi peserta untuk minggu ketiga menunjukkan turun naik. Katanya, ada peserta yang menunjukkan peningkatan dan tidak kurang juga yang menurun sedikit prestasi mereka.

"Secara umum semua peserta menunjukkan kesungguhan sejak minggu lalu lagi. Bagaimanapun mereka masih berada di peringkat menyesuaikan diri. Mereka banyak memikirkan dari sudut teknikal seperti terlalu memandang kamera menyebabkan fokus mereka pada nyanyian berkurangan.

"Setiap peserta harus mempunyai emosi dan penghayatan ketika menyanyi kerana apa yang dirasakan penonton di studio tidak sama dengan penonton di rumah. Televisyen umpama alat saringan, jika peserta memberi 50 peratus emosi, yang sampai di rumah hanyalah 25 peratus saja. Sama seperti apa yang berlaku kepada Zuriana, jika dia lebih fokus persembahannya pasti akan memberi impak," katanya.


Sudah namanya program realiti, Akademi Nasyid juga tidak kurang dengan kejutan apabila peserta kegemaran ramai, Azhan Atan diumumkan berada di tiga tangga terbawah bersama-sama dengan Zuriana dan Mohd Shahridzal Lokma. Menurut salah seorang tenaga pengajar Akademi Nasyid, Yassin Sulaiman, sifat terlalu yakin Azhan Atan meletakkan kedudukan peserta itu dalam bahaya. Katanya, pujian berlebihan boleh mendatangkan masalah yang seterusnya menyebabkan prestasi peserta menurun akibat lalai dengan pujian.

"Dari sudut SMS, Azahan mendapat sokongan kuat tetapi minggu ini juri tidak memihak kepadanya. Azahan terlalu yakin sehingga menyebabkan dia berada di luar kawalan. Inilah masalahnya apabila banyak sangat pujian diberikan, sehingga peserta tidak boleh fokus dalam persembahan" katanya.

Dengan penyingkiran Zuriana, kini tinggal lima lagi peserta solo iaitu Azhan Atan, Eda Fazilah Ismail, Mohd Shahridzal Lokma, Mohd Aiman Mohd Sidek dan Mohd Shukri Nasrun. Manakala lima lagi kumpulan yang masih bertahan ialah Voice Of Men, D'Vision, In Heart, Muslim Voice dan Farhan untuk merebut hadiah lumayan bernilai RM 100,000.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Hip/20080708062717/Article/

No comments: