Wednesday, August 20, 2008

8 dapat peluang kedua

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Sekalipun, tersenarai dalam kelompok tiga peserta terbawah, nasib masih berpihak kepada D’Vision dan sekali gus mengetepikan dua kumpulan lain iaitu In Heart dan Farhan yang tersingkir pada saat akhir. Namun, peluang masih ada buat peserta yang tewas.

Sehubungan itu, kejutan akan berlaku di konsert kesembilan, malam Sabtu ini apabila lapan peserta tersingkir diberi peluang beraksi semula di pentas Akademi Nasyid. Namun, hanya dua saja yang dipilih untuk ke peringkat akhir menyertai empat peserta berjaya.

Siapakah antara kumpulan Sofieya, Zuriana Ishak, Voice Of Men, Mohd Shahridzal Lokman, Eda Fazilah Ismail, Muslim Voice, In Heart dan Farhan menjadi pilihan juri dan penonton? Pastinya, sukar untuk meneka kerana masing-masing ada kekuatan sendiri.

Bagaimanapun, hadiah lumayan berupa wang tunai RM100,000 menanti juara Akademi Nasyid musim ini. Apakah peserta solo akan muncul juara atau rezeki menjadi milik berkumpulan? Bahkan, sejauh mana dominasi pemuda cacat, Azhan terus bertahan?

Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda, berkata kejutan penyingkiran dua peserta iaitu In Heart dan Farhan di konsert kelapan lalu tidak bermakna peluang mereka sudah tertutup. Sebaliknya, pentas Akademi Nasyid masih dibuka buat kedua-duanya.

“Cuma, kali ini mereka perlu bersaing dengan enam peserta lain yang tersingkir sebelum ini. Justeru, tidak timbul soal tidak adil kerana masing-masing yang tersingkir tetap mendapat peluang. Boleh dikatakan ia ‘peluang kedua’ diberikan pada mereka.

“Oleh itu, terpulang bagaimana mereka menggunakannya. Apapun, bagi dua peserta dipilih ini nanti, penilaian pemarkahan masih tidak berubah iaitu 50 peratus daripada juri profesional dan 50 peratus lagi undian khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) penonton. Jadi, buatlah pilihan tepat,” katanya.

Bukhari berharap peserta Akademi Nasyid yang akan berentap dapat menonjolkan persembahan terbaik. Apapun, katanya, sukar untuk menjelaskan sejauh mana kedudukan peserta wanita kerana sekarang peluang dilihat sama rata.

“Saya hanya boleh kata, tidak mustahil peserta wanita juga mampu layak ke peringkat akhir. Itu pun berkemungkinan sekiranya juri profesional dan penonton mahukan ada wakil daripada wanita layak. Pada saya, peluangnya sama rata tiada yang lebih atau kurang,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Rap/20080815114407/Article/index_html

No comments: