Saturday, August 2, 2008

Eda akur pilihan penonton


TERNOKHTAH: Eda Fazilah akur dengan penyingkirannya pada konsert minggu keenam.


Akademi Nasyid kini dikuasai lelaki

PUJIAN melambung yang diberikan tiga pengkritik, Farihin Abd Fatah, Isman Hijjaz dan Azmee Manap terhadap Eda Fazilah Ismail tidak langsung membantunya. Peserta dari Perak itu tersingkir pada konsert mingguan keenam Akademi Nasyid minggu lalu.

Eda, 23, mendendangkan lagu al-Quran Kalamullah mengikuti jejak Mohd Shahridzal, Sofieya, Zuriana Ishak dan Voice of Men yang tersingkir sebelum ini.

Hasilnya, peserta solo terdiri daripada lelaki yang masih bertahan ialah Mohamad Aiman Mohd Sidek, Mohd Shukri Nasrun dan Azhan Atan manakala peserta berkumpulan ialah D'Vision, In-Heart, Muslim Voices dan Farhan.

Menurut Eda, dia mengakui amat terkejut dengan keputusan itu, namun itu bukan penamat perjuangannya. Sebaliknya, ia satu permulaan fasa baru buat dirinya.

“Saya harus akur dengan keputusan ini kerana hampir saban minggu saya berada di kedudukan goyah biarpun sering mendapat pujian pengkritik. Tapi Insya-Allah, selagi minat saya terus bercambah dalam bidang seni, saya akan terus mengembangkan bakat yang ada. Selepas ini saya akan terikat dengan kontrak TV9 selama enam bulan.

“Kalau ada rezeki dan peluang, saya ingin menerjah persada seni dengan album nasyid sekali gus memeriahkan industri nasyid yang kekurangan artis wanita. Saya ingin mengikuti jejak penyanyi bertudung sebelum ini seperti Bienda dan Waheeda,” kata Eda yang bekerja di Jabatan Agama Islam, Ipoh, Perak sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, perkara yang pasti menarik perhatian setiap kali berlangsungnya konsert ialah tumpuan kepada peserta yang cacat penglihatan, Azhar Atan, 35. Azhar yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak, turut mencari rezeki membuat urutan refleksologi di Mid Town, Cheras.

Ditanya apakah dia dinilai dan terus unggul di Akademi Nasyid hanya kerana simpati yang mengatasi bakat, Azhar mempunyai pandangannya sendiri.

“Saya hanya membuat persembahan selamba dan seadanya. Saya rasa ada sedikit bakat yang boleh dikongsi bersama dan bukan kerana simpati semata-mata. Saya juga seperti insan biasa cuma sebelah penglihatan saya tidak boleh nampak. Sebelum menyertai Akademi Nasyid, saya pernah membuat persembahan di beberapa tempat dan negeri,” kata Azhar.

Selain Azhar, Mohd Syukri Nasrun dan D’Vision juga memberikan persembahan yang disambut tepukan gemuruh. Menurut Azmee, dia melihat kumpulan D’Vision sebagai generasi nasyid pelapis yang boleh diketengahkan dalam arus perdana. Begitu juga dengan peserta solo, Mohd Shukri Nasrun yang berkebolehan menyanyi sambil memetik gitar. Bagi Shukri, dia tidak menaruh harapan yang tinggi untuk bergelar juara tapi menitip keinginan untuk beraksi di pentas akhir pada 30 Ogos nanti.

“Sebagaimana yang diingini semua peserta, saya juga mempunyai perasaan yang sama. Saya tidak berani meletakkan 100 peratus keyakinan untuk ke peringkat akhir kerana persembahan kami semua dinilai undian SMS, juri profesional dan selebihnya soal rezeki.

“Saya menyertai pertandingan ini sebagai landasan terbaik untuk menyampaikan lagu sendiri dan kawan-kawan saya. Saya lambat menangkap minat untuk meminati lagu nasyid, saya lebih terdedah kepada lagu ketuhanan yang bersifat kontemporari seperti dendangan lagu M Nasir dan Ramli Sarip,” kata Shukri yang mula bermain gitar pada 2002.

INFO: Akademi Nasyid
Dihoskan oleh bekas anggota UNIC, Hafiz Hamidun
Persembahan peserta pada malam itu turut diiringi bekas kumpulan Brothers seperti Yasin.
Pertandingan akhir dijangka berlangsung pada 30 Ogos ini di lokasi yang sama, Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.

Petikan: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Hip/20080801062703/Article/

No comments: