Wednesday, September 3, 2008

Persembahan mantap, vokal matang



Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Pada malam yang cukup bermakna dan disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam malam Sabtu lalu menyaksikan detik bersejarah Azhan, 35, membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan sijil yang disampaikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ternyata persembahan mantap dan konsisten Azhan saban minggu berjaya memikat hati barisan juri profesional pada malam itu, iaitu Farihin Abdul Fatah, Azmeer dan Ustaz Mohd Rrozie.

Malah, persembahan Azhan yang menyampaikan dua lagu Iqra' yang juga dendangan asal papa rock Ramli Sarip dan lagu baru ciptaan Yusof Ahmad, Segalanya Pasti turut mendapat pujian barisan juri dan menawan hati pengundi Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Selaku juri tetap AN musim pertama, Farihin mengakui Azhan memang berhak memegang gelaran juara pada malam itu.

“Azhan menang bukan kerana juri dan pengundi SMS simpati dengan kecacatan penglihatannya itu sebaliknya dia dinilai kerana bakat besarnya dalam bidang nyanyian dan mampu menyemarakkan industri nasyid tempatan.

“Sejak episod pertama AN lagi, kami sudah jangka Azhan akan muncul sebagai juara AN musim pertama. Persembahannya sangat konsisten, kualiti vokal sangat matang mungkin kerana dia banyak bergaul dengan masyarakat sesuai dengan tugasnya sebagai tukang urut refleksologi sejak 15 tahun lalu,” katanya.

Selain Azhan, Farihin berkata, dia sangat teruja dengan persembahan peserta solo, Mohamad Aiman Mohd Sidek atau Aiman pada malam itu.

“Saya bercakap sebagai pemerhati dan penonton AN kerana pada episod pertama AN, persembahan Aiman sangat lemah. Namun persembahannya meningkat saban minggu dan puncak persembahannya juga adalah pada malam ini. Bagi saya, dia adalah pelajar contoh AN musim pertama. Jika ada anugerah untuk pelajar cemerlang AN, Aiman adalah finalis yang paling layak untuk mendapat gelaran itu.

“Apapun, saya percaya industri nasyid memerlukan enam finalis yang bertanding malam ini kerana masing-masing mempunyai kekuatan dan pengikut tersendiri. Contohnya, kumpulan Muslim Voice dengan keunikan mereka menyampaikan lagu acapella yang cukup menghiburkan malam ini,” katanya

Sekalipun persembahannya mendapat pujian juri dan meraih undian tertinggi SMS, Azhan pula sebaliknya berkata, Mohd Shukri Nasrun atau Cicik adalah finalis yang memberikan cabaran besar buatnya dalam AN musim pertama.

“Cicik adalah penghibur yang baik dan sifatnya yang merendah diri menarik perhatian saya sejak awal AN lagi. Dia juga mempunyai kekuatan tersendiri kerana persembahannya asli dan selamba saja.Saya juga tidak terkilan, jika Cicik yang menjuarai AN musim pertama ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai persembahan lima lagi finalis pada malam itu, rata-rata tampil dengan persembahan yang tidak kurang hebatnya pada malam itu.

Tidak keterlaluan, jika dikatakan masing-masing bersaing sengit antara satu sama lain pada peringkat akhir itu untuk merebut gelaran juara.

Antara finalis paling menonjol pada malam itu ialah peserta solo Aiman yang menyampaikan dua lagu iaitu Nur Kasih dendangan kumpulan In Team dan lagu baru yang dicipta untuknya Dusta Berkalang.

Aiman memang `menang sorak' penonton yang membanjiri Sri Pentas 2 pada malam itu kerana peserta kacak yang berwajah komersil ini tampil dengan persembahan yang memberangsangkan. Ramai yang mengagumi semangat dan kesungguhan anak muda ini dalam kedua persembahannya malam itu. Lagu baru yang dicipta khusus buatnya nampak cukup serasi dengan vokalnya.

Kalau adapun sedikit kelemahan Aiman ialah dia nampak sedikit menggigil ketika di pentas dan kurang jelas dalam sebutannya. Menurut Azmeer, Aiman menggigil kerana berpunca dari masalah pernafasannya yang kurang.

Kumpulan Muslim Voice yang menyampaikan lagu Allah Hu dendangan asal kumpulan Raihan dan lagu baru Wahai Teman juga cukup menghiburkan penonton.

Tidak ketinggalan, Kumpulan D'Vision dengan lagu Dari Tuhan yang juga dendangan asal Awie/Raihan dan satu lagu baru Al-Akhir.

Persembahan mereka memang menarik dan membuktikan mereka memang layak bersaing pada peringkat akhir itu.

Manakala, persembahan dua lagi peserta solo, Cicik dan Eda Fazilah Ismail (Eda) masing-masing masih mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki.

Jika nak diikutkan Azmeer sendiri mengakui Cicik adalah penyanyi yang mempunyai nyanyian yang asli dan bawa elemen baru dalam irama nasyid, namun persembahannya pada malam itu seperti kurang penghayatan ketika menyampaikan lagu Kias Fansuri dendangan M.Nasir dan satu lagu baru Kerana Kau Mahu.

Tambah Farihin pula, Cicik hanya memberikan hanya 70 peratus pada persembahannya pada malam itu dan mempunyai kekurangan dari segi roh.

Eda pula menyampaikan lagu Tiada Yang Kekal dendangan El Suraya dan lagu barunya Menangislah Hati tapi persembahannya dicacatkan kelemahan dari segi vibrato sehingga menenggelamkan kemerduan suaranya.

Petikan: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Rap/20080902083451/Article/index_html

No comments: